1: Pengenalan

Buah pinggang ialah organ yang memainkan peranan penting dalam menjaga tubuh badan agar bersih dan sihat melalui penyingkiran sisa-sisa dan toksin yang tidak diingini. Walaupun fungsi utamanya adalah untuk mengeluarkan toksin dari badan, ia bukanlah satu-satunya fungsi buah pinggang. Buah pinggang juga memainkan peranan penting dalam pengimbangan tekanan darah, jumlah elekrolit dan cecair dalam badan kita. Walaupun kebanyakan kita dilahirkan dengan dua buah buah pinggang, hanya satu buah pinggang sudah mencukupi untuk melaksanakan semua tugas penting dengan berkesan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan bilangan pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Ini mengakibatkan peningkatan yang ketara dalam bilangan pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik. Oleh itu, kita perlukan kesedaran dan pemahaman yang lebih baik mengenai penyakit buah pinggang, pencegahan serta rawatan awal. Buku ini bertujuan untuk membantu pesakit memahami hal-hal berkaitan penyakit buah pinggang, memberikan jawapan kepada soalan yang sering ditanya dan menyediakan mereka untuk menangani penyakit ini.

Bahagian awal buku ini memperkenalkan pembaca kepada buah pinggang serta peranannya yang penting dalam tubuh

manusia dan mencadangkan langkah- langkah untuk mencegah penyakit berkaitan buah pinggang. Buku ini turut membincangkan penyebab, gejala dan diagnosa penyakit buah pinggang yang amat ditakuti, dan juga memberitahu pembaca tentang pelbagai pilihan rawatan yang ada. Di samping itu, sebahagian besar daripada buku ini dikhaskan untuk menujukan hal-hal yang berkaitan dengan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka. Sebagaimana penulis berpendapat, hal ini adalah penting dalam penjagaan pesakit dengan penyakit buah pinggang.

Bab khusus akan menumpukan kepada penjagaan yang perlu diambil semasa peringkat awal penyakit buah pinggang kronik dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk melambatkan proses kerosakan buah pinggang hingga ke tahap yang memerlukan rawatan dialisis. Maklumat terperinci yang berguna mengenai dialisis, pemindahan buah pinggang serta transplantasi kadaver juga diberikan secara berasingan.

Untuk menjadikan buku ini sebagai panduan yang lebih lengkap untuk pesakit buah pinggang, ianya juga mengandungi maklumat mengenai masalah buah pinggang yang kerap berlaku (selain daripada kegagalan buah pinggang); mitos dan fakta mengenai penyakit buah pinggang; cara-cara untuk mengelak dan mencegah penyakit buah pinggang; tips mengenai ubat yang selalu digunakan oleh pesakit buah pinggang dan banyak lagi.

Memandangkan diet adalah perkara yang sangat penting dan utama bagi pesakit buah pinggang kronik, bab yang berasingan telah dikhaskan untuk perkara asas ini. Ianya memberikan nasihat kepada pesakit tentang langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, pemilihan makanan yang betul dan mencukupi.

Penafian: Maklumat yang diberikan dalam panduan buah pinggang ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja. Jangan membuat diagnosa atau rawatan sendiri berdasarkan pengetahuan yang diperoleh dari buku ini. Anda mesti berjumpa doktor atau profesional kesihatan lain untuk rawatan.

Kenali Buah Pinggang Anda - Cegah Penyakit Buah Pinggang