14: Pemindahan Buah Pinggang

Maklumat Pra-Pemindahan

Pemindahan buah pinggang (transplan) adalah hasil kemajuan besar dalam sains perubatan. Pemindahan buah pinggang adalah rawatan pilihan bagi penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD). Pemindahan buah pinggang yang berjaya boleh menawarkan kualiti hidup yang lebih baik dan jangka hayat pesakit yang lebih lama berbanding dialisis. Kehidupan selepas pemindahan buah pinggang yang berjaya adalah hampir seperti normal.

Pemindahan buah pinggang dibincangkan dalam empat bahagian:

  • Maklumat Pra-Pemindahan
  • Pembedahan pemindahan buah pinggang
  • Penjagaan selepas pembedahan
  • Penderma buah pinggang yang mengalami kematian otak. (Kadaverik)

Maklumat Pra-Pemindahan Apakah pemindahan buah pinggang?

Pemindahan buah pinggang adalah prosedur pembedahan di mana buah pinggang yang sihat (dari penderma hidup atau mati - penderma kadaver) dimasukkan ke dalam badan seseorang yang mengalami penyakit buah pinggang peringkat akhir (penerima).

Penemuan pemindahan buah pinggang telah menjadi rahmat bagi pesakit buah pinggang kronik

Bilakah pemindahan buah pinggang perlu?

Pemindahan buah pinggang adalah perlu bagi pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir yang menjalani dialisis (hemodialisis atau dialisis peritoneal) atau yang sangat menghampiri penyakit buah pinggang tahap akhir tetapi belum mula dialisis (pemindahan buah pinggang pre-emptive).

Bilakah pemindahan buah pinggang tidak diperlukan dalam kegagalan buah pinggang?

Pesakit dengan kecederaan buah pinggang akut tidak harus menjalani pemindahan buah pinggang. Pemindahan buah pinggang juga tidak dilakukan dalam kes di mana satu buah buah pinggang gagal dan buah pinggang yang lain masih berfungsi. Pemindahan hanya harus dilakukan jika kegagalan buah pinggang tidak dapat dipulihkan.

Kenapa pemindahan buah pinggang diperlukan dalam penyakit buah pinggang peringkat akhir?

Dialisis hanya menggantikan penapisan setengah produk sisa buah pinggang. Fungsi lain buah pinggang tidak dapat dicapai dan hanya boleh pulih dengan pemindahan buah pinggang. Oleh itu, apabila terdapat penderma yang sesuai dan tiada halangan atau kontraidikasi, pemindahan buah pinggang merupakan pilihan rawatan yang terbaik untuk pemulihan lengkap pesakit dengan kegagalan buah pinggang peringkat akhir. Pembedahan pemindahan buah pinggang juga dikenali sebagai "Hadiah Kehidupan" kerana dapat menyelamatkan nyawa dan membolehkan seseorang itu menikmati kehidupan yang hampir normal.

Apakah kelebihan pemindahan buah pinggang?

Faedah utama pemindahan buah pinggang berjaya ialah:

  • Penggantian fungsi buah pinggang dan kualiti hidup yang lebih baik: Pesakit boleh mencapai gaya hidup yang hampir normal dan aktif dengan tenaga, stamina dan produktiviti.
  • Kebebasan dari dialisis: Pesakit dapat mengelakkan komplikasi, beban kos, kehilangan masa dan kesulitan rawatan dialisis.
  • Jangka hayat yang lebih lama: Pesakit transplant mempunyai jangka hayat yang lebih lama jika dibanding dengan pesakit yang kekal dalam rawatan dialisis.
  • Sekatan makanan dan cecair yang lebih fleksibel.
  • Keberkesanan kos: Walaupun kos awal pemindahan buah pinggang mungkin tinggi, perbelanjaan akan berkurangan pada tahun kedua dan ketiga selepas pemindahan, biasanya kurang daripada yang diperlukan untuk rawatan dialisis berterusan.
  • Terdapat peningkatan dalam kehidupan seksual dan memberi peluang yang lebih tinggi untuk lelaki menperolehi anak dan wanita menjadi hamil berbanding dengan semasa melakukan rawatan dialisis dahulu.
Pemindahan buah pinggang yang berjaya adalah pilihan rawatan yang terbaik untuk CKD-ESKD kerana ia menawarkan kehidupan yang hampir norma

Apakah kelemahan pemindahan buah pinggang?

Pemindahan buah pinggang menawarkan banyak faedah tetapi juga mempunyai kelemahan.

Ini adalah:

  • Risiko pembedahan utama. Pemindahan buah pinggang adalah prosedur pembedahan utama dengan bius yang mempunyai potensi risiko semasa dan selepas pembedahan.
  • Risiko penolakan atau rejeksi(rejection). Tidak ada jaminan 100% bahawa tubuh akan menerima buah pinggang yang ditransplantasikan. Tetapi dengan adanya ubat imunosupresan yang baru dan lebih baik, penolakan kurang berlaku berbanding pada masa lalu.
  • Ubat secara tetap dan berkala. Pesakit transplan perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresif secara berkala selagi buah pinggang penderma mereka berfungsi. Kegagalan untuk mengambil ubatan imunosupresan, atau tidak mengambil dos sepenuhnya membawa risiko kegagalan buah pinggang transplan yang disebabkan oleh penolakan.
  • Risiko yang berkaitan dengan ubat imunosupresif: ubat yang merendahkan respon imun dan penolakan boleh membawa kepada jangkitan yang bahaya. Penjagaan untuk mengelakkan jangkitan dan pemeriksaan serta pemantauan beberapa jenis kanser adalah sebahagian daripada penjagaan selepas transplan. Terdapat kesan sampingan daripada ubatan anti-rejeksi seperti kenaikan tekanan darah , kolesterol darah dan tahap gula yang tinggi
  • Stres. Menunggu penderma buah pinggang sebelum pemindahan, ketidakpastian kejayaan transplantasi (buah pinggang yang dipindahkan mungkin gagal) dan takut kehilangan fungsi buah pinggang yang baru ditransplantasikan selepas pemindahan semuanya merupakan stress bagi pesakit.
  • Kos tinggi pada peringkat awal.
Pemindahan buah pinggang tidak dilakukan untuk pesakit CKD yang mempunyai AIDS, kanser atau penyakit lain yang serius .

Apakah kontraindikasi untuk pemindahan buah pinggang?

Pemindahan buah pinggang tidak disyorkan jika pesakit ESKD mempunyai:

  • Jangkitan yang serius
  • Penyakit kanser yang aktif atau tidak dirawat
  • Masalah psikologi yang teruk atau tahap mental yang tidak stabil
  • Penyakit arteri koronari yang tidak stabil
  • Kelemahan jantung kongestif refraktori
  • Penyakit vaskular periferal yang teruk
  • Antibodi terhadap buah pinggang penderma
  • Masalah perubatan yang teruk.

Apakah had umur untuk penerima pemindahan buah pinggang?

Walaupun tidak ada kriteria tetap untuk umur penerima pemindahan buah pinggang, biasanya disyorkan untuk orang berusia 5 hingga 65 tahun.

Apakah sumber buah pinggang yang mungkin untuk transplantasi?

Terdapat tiga sumber buah pinggang untuk pemindahan:

  • Penderma hidup dari kalangan ahli keluarga (blood related) : Saudara mara darah penerima sehingga ke tahap kebergantungan ke-4.
  • Penderma hidup yang bukan dari ahli keluarga (non blood related) : seperti rakan, suami atau saudara mara yang jauh.
  • Penderma yang mati (kadaver): dari mangsa kematian otak.

Siapakah penderma buah pinggang yang ideal?

Kembar yang sama adalah penderma buah pinggang yang ideal dengan peluang terbaik untuk bertahan hidup selepas pemindahan.

Buah pinggang yang diderma oleh ahli keluarga menghasilkan pemindahan buah pinggang yang paling berjaya

Siapa yang boleh menderma buah pinggang?

Seseorang yang sihat dengan dua buah buah pinggang boleh menderma satu buah buah pinggang selagi kumpulan darah, jenis tisu dan tisu crossmatching serasi dengan penerima. Pada amnya, penderma mestilah berumur antara 18 dan 65 tahun.

Bagaimanakah kumpulan darah menentukan pemilihan penderma buah pinggang?

Keserasian kumpulan darah adalah penting dalam pemindahan buah pinggang. Penerima dan penderma mestilah mempunyai kumpulan darah yang sama atau kumpulan yang serasi. Sama seperti transfusi darah, penderma dengan kumpulan darah O dianggap sebagai penderma "sejagat". (lihat jadual di bawah)

Kumpulan darah penerima Kumpulan darah penderma
O O
A A atau O
B B atau O
AB AB, A, B atau O

Siapa yang tidak boleh menderma buah pinggang?

Penderma hidup harus dinilai secara menyeluruh dari segi perubatan dan psikologi untuk memastikan ianya selamat untuk menderma buah pinggang. Seseorang tidak boleh menderma buah pinggang jika dia mempunyai diabetes mellitus, kanser, HIV, penyakit buah pinggang, tekanan darah tinggi atau sebarang penyakit perubatan atau psikiatri.

Apakah potensi risiko kepada penderma buah pinggang yang hidup?

Seorang penderma yang berpotensi dinilai dengan teliti untuk memastikan bahawa ia selamat untuk menderma buah pinggang. Dengan buah pinggang tunggal, kebanyakan penderma menjalani kehidupan yang sihat. Kehidupan seksual tidak terjejas, wanita boleh hamil dan penderma lelaki tidak menjadi mandul. Risiko pembedahan penderma buah pinggang adalah sama dengan mereka yang mempunyai pembedahan utama yang lain. Risiko penyakit buah pinggang dalam penderma buah pinggang tidak menjadi lebih tinggi hanya kerana mereka mempunyai satu buah pinggang.

Pendermaan buah pinggang adalah selamat dan menyelamatkan nyawa pesakit CKD.

Paired Kidney Exchange dan Pembedahan Pemindahan

Apakah “Pertukaran Buah Pinggang Berpasangan” (‘Paired Kidney Exchange’)?

Pemindahan buah pinggang penderma hidup mempunyai beberapa kelebihan. Ramai pesakit yang mempunyai penyakit buah pinggang peringkat akhir mempunyai penderma buah pinggang yang sihat dan sanggup tetapi halangannya adalah kumpulan darah atau ‘crossmatch’ yang tidak sesuai. ‘Pertukaran Buah Pinggang Berpasangan (juga dikenali sebagai "pertukaran buah pinggang penderma hidup", "pertukaran penderma hidup" atau "pertukaran buah pinggang") adalah strategi yang membolehkan pertukaran buah pinggang penderma hidup antara dua pasangan penderma/ penerima yang tidak sesuai untuk agar mendapat dua pasangan yang serasi. Ini boleh dilakukan jika penderma kedua sesuai untuk penerima pertama, dan penderma pertama sesuai untuk penerima kedua (seperti ditunjukkan di atas). Dengan menukar buah pinggang yang disumbangkan di antara dua pasangan yang tidak serasi, dua transplantasi yang serasi boleh dilakukan.

Apakah pemindahan buah pinggang yang pre-emptive?

Pemindahan buah pinggang biasanya berlaku selepas terapi dialisis dimulakan. Pemindahan buah pinggang boleh dilakukan sebelum memulakan rawatan dialisis apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 20 ml / min. Ini dipanggil pemindahan buah pinggang pre-emptive. Pre-emptive transplan dianggap sebagai pilihan terbaik untuk terapi penggantian buah pinggang dalam penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) kerana ia bukan sahaja menghindari risiko, kos dan ketidakselesaan rawatan dialisis, tetapi juga dikaitkan dengan jangka hayat graf (buah pinggang yang ditransplan) yang lebih baik daripada pemindahan dilakukan selepas memulakan dialisis. Oleh kerana manfaatnya, seseorang itu amat sangat dinasihatkan untuk mempertimbangkan transplantasi awal ESKD, jika penderma yang sesuai ada.

Pembedahan Pemindahan

Bagaimanakah pemindahan buah pinggang?

  • Sebelum pembedahan, penilaian perubatan, psikologi dan sosial dilakukan untuk memastikan kecergasan dan keselamatan penerima dan penderma (dalam pemindahan penderma buah pinggang hidup). Ujian juga memastikan kumpulan darah yang betul dan kesesuaian HLA dan tisu “crossmatch”.
  • Pemindahan buah pinggang adalah kerja berpasukan yang terdiri daripada pakar nefrologi, pakar bedah transplan, pakar patologi, pakar anestesiologi dan perubatan sokongan (pakar kardiologi, pakar endokrin, dll) dan kakitangan kejururawatan serta penyelaras transplan.
Dalam pemindahan buah pinggang, buah pinggang ditransplantasikan ke bahagian bawah abdomen tanpa mengganggu buah pinggang lama.

  • Selepas penjelasan menyeluruh tentang prosedur dan penerima serta penderma membaca borang persetujuan dengan teliti, persetujuan penerima dan penderma (dalam pendermaan buah pinggang hidup) diperolehi.
  • Dalam pembedahan pemindahan penderma hidup, pembedahan kedua-dua penerima dan penderma dikendalikan secara serentak.
  • Pembedahan utama ini berlangsung dari tiga hingga lima jam dan dilakukan di bawah bius umum.
  • Dalam pembedahan pemindahan penderma hidup, biasanya buah pinggang kiri dikeluarkan dari penderma sama ada melalui pembedahan terbuka atau melalui laparoskopi. Selepas dikeluarkan, buah pinggang dibasuh dengan cecair sejuk khas dan seterusnya dimasukkan ke bahagian bawah kanan pelvis abdomen penerima.
  • Dalam kebanyakan kes, buah pinggang yang berpenyakit lama penerima tidak dikeluarkan.
  • Apabila sumber buah pinggang adalah penderma hidup, buah pinggang yang dipindahkan biasanya berfungsi dengan serta-merta. Walau bagaimanapun, apabila sumber buah pinggang adalah penderma buah pinggang (kadaver), buah pinggang yang dipindahkan mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk mula berfungsi. Penerima dengan pemindahan buah pinggang yang lambat berfungsi akan memerlukan dialisis sehingga buah pinggang berfungsi dengan cukup.
  • Selepas pemindahan, pakar nefrologi mengawasi pemantauan dan ubat-ubatan penerima. Penderma hidup juga perlu disaring dan dipantau secara rutin dan berkala untuk sebarang isu kesihatan yang mungkin timbul.

Penjagaan Selepas Pemindahan

Apakah komplikasi selepas pemindahan?

Komplikasi yang mungkin berlaku selepas pemindahan mungkin termasuk penolakan, jangkitan, kesan sampingan ubat dan komplikasi selepas pembedahan. Pertimbangan utama dalam penjagaan selepas pemindahan buah pinggang adalah:

  • Ubat selepas pemindahan dan penolakan buah pinggang.
  • Langkah berjaga-jaga untuk menjaga kesihatan buah pinggang yang telah dipindahkan dan untuk mencegah jangkitan.

Ubat-ubatan selepas pemidahan buah pinggang dan rejeksi buah pinggang

Bagaimana pengurusan selepas pembedahan pemindahan buah pinggang berbeza dengan pembedahan rutin yang lain?

Dalam kebanyakan kes pembedahan rutin, ubat dan penjagaan khas selepas pembedahan diperlukan selama 7-10 hari. Walau bagaimanapun, selepas pemindahan buah pinggang, ubat-ubatan sepanjang hayat dan penjagaan yang teliti adalah wajib.

Apakah penolakan (rejeksi) buah pinggang?

Sistem imun tubuh adalah untuk mengenali dan memusnahkan protein dan antigen asing seperti bakteria dan virus berbahaya. Apabila sistem imun penerima mengenali bahawa buah pinggang yang dipindahkan bukan “sendiri”, ia menyerang buah pinggang yang dipindahkan dan cuba memusnahkannya. Serangan ini oleh pertahanan semula jadi badan pada buah pinggang yang dipindahkan dikenali sebagai penolakan (rejeksi). Rejeksi berlaku apabila buah pinggang yang dipindahkan tidak diterima oleh badan penerima transplan.

Komplikasi utama selepas pemindahan buah pinggang adalah rejeksi, infeksi dan kesan sampingan ubat-ubatan.

Bilakah rejeksi buah pinggang berlaku dan apakah kesannya?

Rejeksi buah pinggang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas pemindahan, dan yang paling biasa dalam enam bulan pertama. Keterukan rejeksi berbeza dari pesakit ke pesakit. Kebanyakan rejeksi adalah ringan dan mudah dirawat oleh terapi imunosupresan yang betul. Walau bagaimanapun, dalam beberapa pesakit, rejeksi mungkin teruk dan tidak respon terhadap rawatan dan akhirnya memusnahkan buah pinggang.

Apa ubat-ubatan yang perlu diambil oleh pesakit selepas pemindahan untuk mencegah rejeksi?

  • Oleh kerana sistem imun badan, pesakit transplant sentiasa ada risiko rejeksi buah pinggang transplan.
  • Sekiranya sistem imun badan diturunkan risiko rejeksi berkurangan. Walau bagaimanapun, pesakit menjadi terdedah kepada jangkitan yang boleh mengancam nyawa.
  • Ubat khas diberikan kepada pesakit selepas pemindahan buah pinggang untuk secara selektif mengubah sistem imun dan mencegah rejeksi, tetapi mengurangkan sedikit keupayaan pesakit untuk melawan jangkitan.

Ubat-ubatan khas itu dikenali sebagai ubat imunosupresan. Pada masa ini, ubat imunosupresan yang paling banyak digunakan ialah tacrolimus/ciclosporin, mycophenolate mofetil (MMF), sirolimus/everolimus dan prednisolone.

Berapa lama pesakit perlu meneruskan ubat imunosupresan selepas pemindahan buah pinggang?

Ubat imunosupresan perlu diambil sepanjang hayat, selagi graf buah pinggang berfungsi. Pada masa pemindahan, beberapa ubat diberikan tetapi bilangan dan dos mereka dikurangkan secara beransur-ansur dari masa ke masa.

Selepas pemindahan buah pinggang terapi ubatan adalah wajid untuk sepanjang hayat bagi mencegah rejeksi buah pinggang

Adakah pesakit memerlukan ubat lain selepas pemindahan buah pinggang?

Ya. Selepas pemindahan buah pinggang, sebagai tambahan kepada ubat imunosupresan, ubat antihipertensi, kalsium, dan ubat-ubatan untuk merawat atau mencegah jangkitan dan ubat ulser mungkin diperlu diambil

Apakah kesan sampingan ubat imunosupresan yang biasa?

Kesan sampingan biasa ubat imunosupresan diringkaskan dalam jadual berikut.

Ubat Kesan sampingan biasa
Prednisolone Penambahan berat badan, tekanan darah tinggi, ketidakselesaan gastrik, peningkatan selera makan, peningkatan risiko kencing manis, osteoporosis, katarak
Cyclosporine Tekanan darah tinggi, gigil yang ringan (tremors), pertumbuhan rambut yang berlebihan, bengkak gusi, peningkatan risiko kencing manis, kerosakan buah pinggang
Azathioprine Penindasan sum-sum tulang, peningkatan risiko jangkitan
MMF Kesakitan abdomen, mual, muntah dan cirit-birit
Tacrolimus Tekanan darah tinggi, kencing manis, tremor, sakit kepala, kerosakan buah pinggang
Sirolimus/everolimus Tekanan darah tinggi, sel darah rendah, cirit-birit, jerawat, sakit sendi, peningkatan kolesterol, trigliserida
Jika buah pinggang yang dipindahkan gagal, permulaan dialisis dan pemindahan kedua adalah dua rawatan yang boleh dipilh.

Apa yang berlaku jika buah pinggang yang dipindahkan gagal?

Apabila buah pinggang yang dipindahkan gagal, pesakit boleh menjalani pemindahan kedua atau menjalani dialisis.

Langkah berjaga-jaga selepas pemindahan buah pinggang

Pemindahan buah pinggang yang berjaya memberikan kehidupan yang baru, normal, sihat dan bebas. Walau bagaimanapun, penerima mesti menjalani gaya hidup berdisiplin dan mengikuti langkah berjaga-jaga untuk melindungi buah pinggang yang ditransplankan dan mencegah jangkitan. Pesakit harus patuhi dan mengambil ubat yang ditetapkan secara tetap dan tanpa gagal.

Garis panduan umum untuk memastikan kesihatan buah pinggang dipindahkan

  • Jangan berhenti mengambil ubat atau mengubah dosnya. Ingatlah bahawa ketidakteraturan, pengubahsuaian atau penghentian ubat-ubatan adalah beberapa sebab yang paling biasa untuk kegagalan pemindahan buah pinggang.
  • Sentiasa menyimpan senarai ubat-ubatan dan memastikan stok yang mencukupi. Jangan ambil ubat-ubatan atau terapi herba yang berlebihan.
Kunci kejayaan selepas pemindahan buah pinggnag adalah ketetapan, langkah berjaga-jaga dan pengawasan.
 

  • Mengukur tekanan darah, jumlah air kencing, berat badan dan gula darah (jika dinasihatkan oleh doktor) setiap hari.
  • Mengikut temujanji doktor and menjalani ujian makmal sebagaimana yang dinasihatkan, adalah wajib.
  • Ujian darah harus dijalankan di makmal yang mempunyai reputasi. Jika laporan makmal tidak memuaskan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan doktor anda secepat ynag mungkin dan bukan menukar makmal.
  • Dalam keadaan kecemasan, jika anda perlu berunding dengan doktor yang tidak menyedari tentang penyakit anda, jangan gagal memaklumkan kepadanya bahawa anda adalah penerima pemindahan buah pinggang dan memberi penjelasan mengenai ubat-ubatan tersebut.
  • Terdapat kurang larangan pemakanan selepas pemindahan. Makanan perlu diambil secara teratur. Seseorang perlu makan makanan yang seimbang dengan cukup kalori dan protein seperti yang ditetapkan. Makan makanan yang rendah garam, gula dan lemak dan serat yang tinggi untuk mengelakkan kenaikan berat badan.
  • Pengambilan air perlu mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi. Pesakit mungkin memerlukan lebih daripada tiga liter air sehari.
  • Latihan secara berkala dan mengawal berat badan. Elakkan dari aktiviti fizikal berat dan sukan ‘contact’ misalnya. tinju, bola sepak.
  • Aktiviti seksual yang selamat boleh disambung semula selepas kira-kira dua bulan, selepas berunding dengan doktor.
  • Elakkan merokok dan pengambilan alkohol.
  • Jauhkan diri dari tempat-tempat yang sesak seperti panggung wayang, pusat membeli-belah, pengangkutan awam dan orang yang mempunyai jangkitan.
  • Sentiasa memakai topeng muka di tempat awam dan kawasan berisiko tinggi seperti tapak pembinaan, persekitaran berhabuk debu, tapak penggalian, gua, tempat penjagaan haiwan, ladang, taman, dll.
  • Sentiasa cuci tangan dengan sabun dan air sebelum anda makan, sebelum menyediakan atau mengambil ubat-ubatan dan selepas menggunakan bilik air.
  • Minum air tapis yang sudah masak
  • Makan makanan yang baru dimasak di rumah dengan peralatan yang bersih. Elakkan daripada memakan makanan yang dimasak di luar dan makanan mentah. Elakkan buah dan sayuran mentah untuk 3 bulan pertama selepas pemindahan.
  • Mengekalkan kebersihan dalam rumah.
  • Menjaga gigi dengan baik dengan memberus gigi dua kali sehari.
  • Jangan mengabaikan apa-apa kelukaan. Segera bersihkan luka dengan sabun dan air dan menutupinya dengan gauze bersih.
Segera berunding dengan doktor dan mendapat rawatan segera untuk sebarang masalah baru atau luar biasa adalah wajib untuk menjaga buah pinggang.

Rujuk atau hubungi doktor atau klinik pemindahan sekiranya:

  • Demam melebihi 100oF atau 37.8oC dan gejala selsema seperti menggigil, sakit badan atau sakit kepala yang berterusan.
  • Sakit atau kemerahan di atas atau di sekitar buah pinggang yang ditransplan.
  • Pengurangan ketara dalam pengeluaran air kencing, pengekalan cecair (bengkak) atau peningkatan berat badan yang cepat (lebih daripada 1 kg sehari).
  • Darah dalam air kencing atau kepedihan ketika buang air kecil.
  • Batuk, sesak nafas, muntah atau cirit-birit.
  • Terdapat sebarang gejala baru atau luar biasa.
  • Segera hubungi doktor dan segera merawat sebarang masalah baru atau luar biasa adalah wajib untuk melindungi buah pinggang.

Kenapa hanya beberapa pesakit dengan kegagalan buah pinggang mendapatkan pemindahan buah pinggang?

Pemindahan buah pinggang adalah pilihan rawatan yang paling berkesan dan terbaik untuk pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik - kegagalan buah pinggang peringkat akhir. Terdapat sejumlah besar pesakit yang memerlukan atau ingin mendapatkan pemindahan buah pinggang.

Terdapat tiga sebab penting mengapa prosedur ini terhad.

1. Kekurangan buah pinggang: Hanya beberapa pesakit yang bernasib baik untuk mendapatkan penderma buah pinggang yang hidup (ada hubungan atau tiada hubungan) atau mati (kadaver). Masalah utama ialah bilangan penderma hidup yang terhad dan senarai menunggu yang panjang bagi penderma yang sudah mati otak.

2. Kos: Kos pembedahan pemindahan buah pinggang dan ubat-ubatan sepanjang hayat selepas transplan adalah sangat tinggi. Ini adalah halangan utama bagi sejumlah besar pesakit di negara-negara membangun.

3. Kekurangan kemudahan: Di kebanyakan negara membangun, kemudahan untuk pemindahan buah pinggang tidak mudah diperolehi.

Kekurangan penderma buah pinggang adalah halangan utama yang menghalang pesakit dari mendapat manfaat daripada pemindahan buah pinggang

Pemindahan Buah Pinggang Penderma Mati (Cadaveric)

Apakah transplantasi buah pinggang penderma mati?

Transplantasi penderma mati (cadaver) adalah melibatkan pemindahan buah pinggang yang sihat dari pesakit yang "kematian otak" ke pesakit dengan CKD. Buah pinggang si mati berasal dari orang yang telah diisytiharkan sebagai "kematian otak" dengan keinginan untuk mendermakan organ yang telah dinyatakan oleh keluarga atau oleh pesakit sebelum dia mati.

Kenapa transplantasi penderma mati diperlukan?

Disebabkan kekurangan penderma hidup, ramai pesakit CKD, walaupun berminat untuk menjalani pemindahan, terpaksa meneruskan dialisis. Satu-satu harapan untuk pesakit tersebut adalah buah pinggang daripada penderma yang mati atau kadaver. Pembuatan manusia yang paling mulia adalah dapat menyelamatkan nyawa orang lain selepas kematian dengan mendermakan organ. Pemindahan buah pinggang penderma mati juga membantu menghapuskan perdagangan organ haram dan merupakan bentuk pendermaan buah pinggang yang paling beretika.

Apakah "Kematian Otak"?

"Kematian Otak" adalah penghentian sepenuhnya dan tidak dapat dipulihkan (berhenti) pada semua fungsi otak yang menyebabkan kematian. Diagnosa "kematian otak" dibuat oleh doktor pada pesakit tidak sedarkan diri dan menerima bantuan pernafasan tiruan dengan mesin ‘ventilator’ di hospital.

Dalam "Kematian Otak" kerosakan tidak ada peluang untuk pulih dengan sebarang rawatan perubatan atau pembedahan.

Kriteria diagnosis kematian otak adalah:

  1. Pesakit mesti berada dalam keadaan koma dan punca koma (contohnya trauma kepala, pendarahan otak dll) disiasat dengan teliti melalui pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan klinikal, ujian makmal dan pengimajan neuro. Ubat-ubatan tertentu (cth. sedatif, antikonvulsans atau anti sawan, relaksan otot, anti depresi, hipnotik dan narkotik), dan penyebab metabolik dan endokrin boleh membawa kepada keadaan tidak sedar yang dapat meniru kematian otak. Adalah perlu untuk menpastikan ketiada penyebab sedemikian sebelum mengesahkan diagnosa kematian otak. Doktor perlu membetulkan tekanan darah rendah, suhu badan rendah dan tahap oksigen badan yang rendah sebelum mempertimbangkan kematian otak.
  2. Koma yang berterusan walaupun menerima rawatan yang betul dan dibawah penjagaan pakar bagi tempoh yang mencukupi untuk "memastikan tiada kemungkinan pemulihan".
  3. Tiada pernafasan spontan, pesakit memerlukan sokongan ventilator.
  4. Pernafasan, tekanan darah dan peredaran darah dikekalkan dengan ventilator dan alat sokongan hayat yang lain.

Apakah perbezaan antara kematian otak dan ketidaksedaran?

Pesakit tidak sedarkan diri mungkin atau mungkin tidak memerlukan sokongan ventilator dan mungkin akan sembuh selepas rawatan yang betul. Pada pesakit dengan "Kematian Otak," kerosakan otak adalah teruk dan tidak dapat pulih dan tidak dijangka pulih walaupun terdapat rawatan perubatan atau pembedahan. Pada pesakit dengan "Kematian Otak", sebaik sahaja ventilator dimatikan, respirasi berhenti dan jantung berhenti berdegup. Adalah penting untuk diingatkan bahawa pesakit sudah mati secara sah dan memberhentikan bantuan ventilator bukanlah punca kematian. Pesakit dengan "Kematian Otak" tidak boleh kekal pada sokongan ventilator selama-lamanya, kerana jantung mereka akan akhirnya berhenti berfungsi dalam masa terdekat.

Bolehkah menderma buah pinggang selepas mati?

Tidak. Kematian berlaku selepas jantung dan pernafasan berhenti secara kekal. Pendermaan kornea boleh dilakukan selepas kematian, tetapi tidak boleh bagi pendermaan buah pinggang. Apabila jantung berhenti, bekalan darah ke buah pinggang juga berhenti, menyebabkan kerosakan yang teruk dan tidak dapat dipulihkan pada buah pinggang; dan menghalang penggunaannya untuk pemindahan buah pinggang.

Dalam "Kematian Otak", pernafasan dan penaliran darah badan dikekalkan secara artificial selepas kematian.

Apakah sebab-sebab biasa untuk "Kematian Otak?"

Penyebab biasa kematian otak adalah kecederaan kepala (iaitu jatuh atau kemalangan kenderaan), pendarahan dalam otak, infaksi

otak dan tumbuhan dalam otak.

Bila dan bagaimanakah "Kematian Otak" didiagnosa? Siapa yang mendiagnosa "Kematian Otak?"

Apabila pesakit koma, yang disambung pada alat penafasan (ventilator) dan alat sokongan hidup lain untuk tempoh yang mencukup lama dan tidak ada penambahbaik pada pemeriksaan klinikal dan neurologi, kemungkinan "Kematian Otak" akan dipertimbangkan. Diagnosa kematian otak dibuat oleh sekumpulan doktor yang tidak terlibat dalam pemindahan buah pinggang. Pasukan ini termasuk doktor, pakar neurologi atau pakar bedah saraf, yang, selepas pemeriksaan pesakit, mengisytiharkan "kematian otak." Dengan pemeriksaan klinikal terperinci, pelbagai ujian makmal, ujian EEG khas untuk otak dan penyiasatan lain, semua kemungkinan pemulihan dari kerosakan otak akan disiasat. Apabila tiada kemungkinan pemulihan disahkan, "kematian otak" diisytiharkan.

Apakah kontraindikasi untuk pendermaan buah pinggang dari pesakit dengan "Kematian Otak?"

Buah pinggang tidak boleh diterima daripada penderma dengan kematian otak pada keadaan berikut:

  1. Pesakit dengan jangkitan aktif.
  2. Pesakit yang menderita HIV atau hepatitis B atau C.
  3. Pesakit dengan hipertensi yang lama, kencing manis, penyakit buah pinggang atau kehadiran kegagalan buah pinggang.
  4. Pesakit kanser (kecuali tumor otak).
Seorang penderma yang meninggal dunia boleh menyelamatkan nyawa dua pesakit CKD kerana dia boleh menderma kedua-dua buah pinggangnya.

Mana organ-organ lain yang boleh didermakan oleh penderma cadaver?

Penderma mati boleh menderma kedua-dua buah pinggang dan menyelamatkan nyawa dua orang pesakit. Selain buah pinggang, organ lain yang boleh diderma ialah mata, jantung, hati, kulit, pankreas dll.

Siapa yang terdiri dalam pasukan untuk transplan buah pinggang penderma mati?

Bagi pemindahan buah pinggang penderma mati, kerja sepasukan adalah sangat penting. Pasukan ini terdiri daripada:-

  • Saudara-saudara penderma buah pinggang yang mati untuk mendapatkan kebenaran pendermaan.
  • Doktor yang menjaga penderma.
  • Koordinator transplan penderma mati, yang menjelaskan dan membantu saudara-mara pesakit untuk dermaan buah pinggang.
  • Pakar neurologi yang mengesahkan kematian otak.
  • Pakar nefrologi, pakar urologi, pakar bedah dan pasukan transplan.
Selepas pemindahan buah pinggang pesakit boleh menikmati gaya hidup yang normal dan aktif.

Bagaimana menjalankan transplantasi buah pinggang penderma mati?

Berikut adalah aspek penting pemindahan buah pinggang penderma mati.

  • Diagnosis yang tepat tentang kematian otak adalah wajib.
  • Buah pinggang penderma perlu disahkan sihat dan penderma seharusnya tidak mempunyai penyakit sistemik yang membuat pendermaan tidak sesuai.
  • Kebenaran untuk pendermaan hendaklah diberikan oleh saudara atau orang yang dibenarkan secara sah untuk berbuat demikian.
  • Penderma organ dikekal pada alat penafasan (ventilator) dan alat sokongan hayat yang lain untuk mengekalkan respirasi, denyutan jantung dan tekanan darah sehingga kedua-dua buah pinggang dikeluarkan dari badan.
  • Slepas dikeluarkan, buah pinggang diproses dengan cecair sejuk khas dan disimpan di dalam ais. Seorang penderma yang sudah mati boleh menderma kedua-dua buah pinggang, jadi dua orang penerima boleh diberi hadiah kehidupan.
  • Penerima yang sesuai dipilih daripada senarai menunggu yang mengikuti protokol berdasarkan kumpulan darah, kesesuaian HLA dan keserasian “cross match”.
  • Hasil adalah baik jika transplan dijalankan lebih awal. Buah pinggang penderma mati sebaiknya dipindahkan dalam tempoh 24 jam ia dikeluarkan. Di luar jangka masa tertentu, ia mungkin tidak sesuai untuk transplan.
  • Prosedur pembedahan pada penerima adalah sama untuk pendermaan buah pinggang yang hidup atau mati.
  • Semasa tempoh antara pengeluaran dan transplan, buah pinggang penderma mengalami kerosakan akibat kekurangan oksigen, kekurangan bekalan darah dan pendedahan sejuk dari penyimpanan dalam ais. Kerana kecederaan tersebut, buah pinggang mungkin tidak berfungsi sebaik sahaja selepas pemindahan dan kadang-kadang, sokongan dialisis jangka pendek mungkin diperlukan semasa menunggu buah pinggang penderma pulih dan mendapatkan fungsi semula.

Adakah terdapat sebarang bayaran yang diberikan kepada keluarga penderma?

Tiada. Memberi seseorang satu kehidupan yang baru adalah hadiah yang tidak ternilai. Sebagai pendermaan, penderma atau keluarga penderma tidak seharusnya mengharapkan penerimaan apa-apa bayaran untuk buah pinggang yang didermakan, dan penerima juga tidak perlu membayar kepada sesiapa pun. Perasaan gembira, kepuasan serta kesyukuran terhadap keprihatinan dan sikap kemanusiaan yang mulia ini sudah memadai untuk penderma atau keluarga.

Pendermaan organ adalah perbuatan rohani. Apa yang boleh menjadi lebih suci daripada menyelamatkan nyawa?