10: Kegagalan Buah Pinggang Kronik: Penyebab

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah penyakit yang mengakutkan dimana sains perubatan tidak ada rawatan. CKD semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan di seluruh dunia. Satu daripada sepuluh orang mempunyai penyakit buah pinggang kronik. Peningkatan kencing manis, hipertensi, obesiti, merokok, dan kolesterol tinggi adalah sebab utama peningkatan kejadian CKD.

Apakah penyakit buah pinggang kronik?

CKD berlaku apabila buah pinggang merosak dan secara beransur-ansur tidak mampu melaksanakan fungsinya. Dengan rawatan, fungsi buah pinggang mungkin di stabilkan, tetapi jika tidak, kerosakan menjadi lebih teruk dari bulan ke tahun. Tahap kreatinin serum meningkat secara beransur-ansur dan tahap fungsi buah pinggang (juga dikenali sebagai kadar penapisan glomerular) boleh dikira dari ujian darah ini. CKD dapat di gredkan sebagai ringan, sederhana atau teruk. Kehadiran albumin di dalam air kencing juga menunjukkan kehadiran kerosakan buah pinggang. CKD sebelum ini dikenali sebagai Kegagalan Buah Pinggang Kronik tetapi perkataan kegagalan memberikan kesan yang salah. Pada awal penyakit buah pinggang kronik, buah pinggang masih mempunyai fungsi yang terhad dan hanya pada peringkat akhir di mana kegagalan buah pinggang benar-benar berlaku.

Penyakit buah pinggang kronik adalah kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur, progresif dan kekal.

Apakah penyakit buah pinggang tahap akhir?

Penyakit buah pinggang tahap akhir merujuk kepada masa apabila CKD mencapai tahap yang lanjut (kurang daripada 10% daripada fungsi normal). Buah pinggang mungkin gagal sepenuhnya dan keadaannya tidak dapat dipulihkan.

Pada ketika ini, pengurusan konservatif (iaitu ubat, diet, modifikasi gaya hidup) tidak mencukupi untuk mengekalkan hayat dan terapi penggantian buah pinggang (dialisis atau pemindahan buah pinggang) diperlukan.

Apa yang menyebabkan penyakit buah pinggang kronik?

Beberapa keadaan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada buah pinggang. Tetapi dua sebab utama penyakit buah pinggang kronik adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi. Mereka menyumbang kira-kira dua pertiga kes penyakit buah pinggang kronik.

Penyebab penting penyakit buah pinggang kronik adalah:

  • Kencing manis (Diabetes). Penyebab untuk hampir 35-40% daripada semua kes, kencing manis adalah punca utama penyakit buah pinggang kronik. Kira-kira setiap satu per ketiga pesakit kencing manis berisiko mengidapi CKD.
  • Tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat atau tidak dikawal denagn baik adalah punca utama penyakit buah pinggang kronik dalam hampir 30% kes. Selain itu, apa pun punca penyakit buah pinggang kronik, tekanan darah tinggi pasti akan menambahkan kerosakan buah pinggang.
  • Glomerulonefritis. Keadaan ini menyebabkan keradangan dan merosakkan buah pinggang dan adalah penyebab utama ketiga bagi penyakit buah pinggang kronik.
  • Penyakit buah pinggang polikistik. Ini adalah penyebab utama penyakit buah pinggang keturunan yang disifatkan dengan pelbagai sista di kedua buah pinggang.
  • Sebab-sebab lain: Buah pinggang berumur, stenosis arteri renal (penyempitan), penghalangan aliran air kencing oleh batu karang atau pembesaran prostat, kerosakan buah pinggang akibat ubat dan toksin, jangkitan buah pinggang berulang pada kanak-kanak dan nefropati refluks.
Dua penyebab utama penyakit buah pinggang kronik adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi