3: Gejala Penyakit Buah Pinggang

Gejala penyakit buah pinggang berbeza dari orang ke orang. Banyak bergantung kepada jenis penyakit asas dan keparahannya. Gejala biasanya samar-samar dan tidak spesifik, dan oleh itu penyakit sukar didiagnosa pada peringkat awal.

Gejala penyakit buah pinggang yang biasa:

  • Muka bengkak

    Bengkak pada muka, perut dan kaki, adalah simptom penyakit buah pinggang. Satu ciri bengkak disebabkan penyakit buah pinggang biasanya diperhatikan terlebih dahulu di bawah kelopak mata (ini disebut edema periorbital) dan paling ketara pada waktu pagi. Kegagalan buah pinggang selalunya menyebabkan pembengkakan. Tetapi perlu diingatkan bahawa pembengkakan tidak semestinya menunjukkan kegagalan buah pinggang. Untuk penyakit buah pinggang tertentu, walaupun masih terdapat fungsi buah pinggang yang normal, pembengkakan masih boleh berlaku (contohnya sindrom nefrotik). Fakta yang sama penting, pembengkakan juga tidak dapat dilihat pada beberapa pesakit walaupun mengalami kegagalan buah pinggang.

  • Kehilangan selera makan, loya, muntah

    Hilang selera makan, rasa tidak normal dalam mulut dan kekurangan pengambilan makanan adalah masalah biasa yang dihadapi oleh orang yang mengalami kegagalan buah pinggang. Dengan kemerosotan fungsi buah pinggang, terdapat peningkatan tahap bahan toksik, yang membawa kepada loya, muntah dan kadang-kadang, sedu yang sukar dikawal.

  • Tekanan darah tinggi - Hipertensi

    Pada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, hipertensi adalah perkara biasa. Jika hipertensi berlaku pada usia muda (kurang daripada 30 tahun) atau tekanan darah adalah sangat tinggi pada masa diagnosis, antara sebabnya adalah penyakit buah pinggang.

Bengkak muka pada bahagian bawah kelopak mata bawah (dikenali sebagai “periorbital oedema”) adalah symptom yang paling kerap bagi penyakit buah pinggang

  • Anemia dan kelemahan

    Kelemahan, keletihan awal, kurang konsentrasi dan pucat adalah aduan biasa seseorang dengan anemia (tahap hemoglobin rendah). Kadang-kadang ini mungkin satu-satunya keluhan seseorang mengalami tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang kronik. Sekiranya anemia tidak sembuh dengan rawatan biasa, adalah penting untuk memastikan ianya bukan akibat kegagalan buah pinggang.

  • Aduan tidak spesifik

    Sakit belakang, sakit badan yang umum, gatal-gatal dan kekejangan kaki adalah aduan yang kerap berlaku dalam penyakit buah pinggang. Pertumbuhan yang terencat, pendek dan lenturan tulang kaki adalah perkara biasa pada kanak-kanak dengan kegagalan buah pinggang.

  • Aduan kencing
  • Aduan kencing yang biasa adalah:

    1. Pengurangan jumlah air kencing, sangat biasa dalam pelbagai penyakit buah pinggang.
    2. Kepedihan ketika membuang air kecil (disuria), kerap membuang air kecil (kekerapan) dan kehadiran darah atau nanah dalam urin adalah gejala jangkitan saluran kencing.
    3. Halangan aliran normal air kencing boleh menyebabkan kesukaran dalam 'voiding' (membuang air kecil), dan aliran air kencing yang kurang baik. Dalam keadaan yang teruk, ketidakupayaan untuk membuang air kecil boleh berlaku.

Walaupun seseorang mungkin mempunyai beberapa dan tanda-tanda yang disebutkan di atas, ia tidak semestinya bermakna bahawa orang itu menderita penyakit buah pinggang. Bagaimanapun, dengan kehadiran gejala sedemikian, adalah disyorkan untuk berunding dengan doktor dan menolak sebarang kemungkinan penyakit buah pinggang dan lain-lain penyakit sistemik dengan ujian darah dan air kencing. Adalah penting untuk diingat bahawa masalah buah pinggang yang serius mungkin wujud secara senyap untuk jangka masa yang panjang tanpa gejala dan tanda-tanda yang ketara.