18: Jangkitan Saluran Kencing

Gejala

Sistem urinari biasanya terdiri daripada dua buah pinggang, dua ureter, satu pundi kencing dan satu urethra. Jangkitan saluran kencing (UTI) adalah jangkitan bakteria pada mana-mana saluran kencing. UTI adalah jangkitan kedua kerap.

Apakah gejala jangkitan saluran kencing?

Gejala jangkitan saluran kencing mungkin berbeza dengan keterukan jangkitan, umur dan lokasi jangkitan dalam saluran.

Gejala-gejala yang paling biasa bagi jangkitan saluran kencing

  • Pedih atau sakit semasa kencing.
  • Kerap kencing dan sentiasa ingin kencing.
  • Demam dan lemah.
  • Air kencing berbau dan keruh.

Gejala akibat jangkitan pundi kencing (Cystitis)

  • Ketidakselesaan bahagian bawah abdomen.
  • Kencing yang kerap dan sakit dengan sedikit air kencing.
  • Biasanya demam rendah tanpa sakit pinggang.
  • Darah di dalam air kencing.

Gejala akibat jangkitan saluran kencing atas (Pyelonephritis)

  • Sakit bahagian atas badan dan pinggang.
  • Demam tinggi dan menggigil.
  • Mual, muntah, kelemahan, keletihan dan rasa sakit umum.
  • Perubahan mental atau kekeliruan pada orang tua.

Ini adalah gejala paling serius dari jangkitan saluran kencing kerana ia membayangkan penglibatan sistemik. Rawatan yang tidak mencukupi dan lambat boleh mengancam nyawa.

Rasa kepedihan semasa kencing dan kerap kali kencing adalah tanda biasa jangkitan saluran kencing.

Punca

Apakah punca jangkitan saluran kencing yang berulang?

Penyebab penting jangkitan saluran kencing yang kerap atau berulang adalah:

  1. Halangan saluran kencing: Pelbagai keadaan boleh menyebabkan halangan saluran kencing.
  2. Jantina wanita: Kerana uretra yang lebih pendek, wanita lebih mudah mendapat UTI daripada lelaki.
  3. Persetubuhan: Wanita yang aktif secara seksual lebih kerap mendapat jangkitan saluran kencing jika dibanding dengan wanita yang tidak aktif secara seksual.
  4. Batu karang: Batu karang pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing boleh menyekat aliran air kencing dan meningkatkan risiko UTI.
  5. Memasukkan kateter pada pundi kencing: Orang yang mempunyai kateter pada pundi kencing mempunyai risiko UTI yang lebih tinggi.
  6. Anomali saluran kencing kongenital: Kanak-kanak dengan anomali saluran kencing kongenital seperti refluks vesicoureteral (keadaan di mana urin mengalir terbalik dari pundi kencing sehingga ureter) dan injap uretra posterior mempunyai risiko UTI yang lebih tinggi.
  7. Hiperplasia prostatic benign: Lelaki lebih 60 tahun terdedah kepada UTI kerana prostat yang membesar (hiperplasia prostatic benign - BPH).
  8. Sistem imun yang rendah: Pesakit dengan kencing manis, HIV atau kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk UTI.
  9. Punca-punca lain: Uretra atau ureter yang sempit, tuberkulosis pada saluran genito-urinari, pundi neurogenik atau diverticulum pundi kencing.
Saluran kencing terhalang adalah punca utama UTI yang berulang.

Bolehkah jangkitan saluran kencing yang berulang menyebabkan kerosakan pada buah pinggang?

Jangkitan berulang pada saluran kencing bawah biasanya tidak menyebabkan kerosakan pada buah pinggang pada orang dewasa.

UTI pada orang dewasa boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang jika faktor-faktor predisposisi seperti batu karang, halangan atau penyempitan aliran air kencing dan tuberkulosis saluran genito-urinari tidak diperbetulkan.

Walaubagaimanapun, pada kanak-kanak kecil, rawatan jangkitan saluran kencing berulang yang lambat atau tidak betul boleh menyebabkan kerosakan yang berkekalan kepada buah pinggang terutamanya pada mereka yang mengalami refluks vesicoureteral. Kerosakan ini boleh mengakibatkan pengurangan fungsi buah pinggang dan tekanan darah tinggi di masa depan. Jadi masalah jangkitan saluran kencing lebih serius pada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

UTI biasanya tidak menyebabkan kerosakan kekal pada buah pinggang pada orang dewasa jika tiada halangan aliran air kencing

Diagnosis

Diagnosa jangkitan saluran kencing

Penyiasatan dilakukan untuk menentukan diagnosis dan menilai keterukan jangkitan saluran kencing. Pada orang yang mempunyai jangkitan saluran kencing yang komplikated atau berulang, ujian yang berbeza dilakukan untuk menentukan kehadiran faktor-faktor predisposisi atau risiko.

Penyiasatan Asas untuk Jangkitan Saluran Urin

1. Ujian kencing

Ujian pemeriksaan yang paling penting untuk UTI adalah urinalisis rutin. Sampel air kencing pagi adalah lebih baik untuk ujian ini. Dalam pemeriksaan mikroskopik air kencing, kehadiran sel darah putih yang signifikan mencadangkan kehadiran UTI. Kehadiran sel darah putih dalam air kencing menunjukkan keradangan saluran kencing tetapi ketiadaannya tidak mengecualikan UTI.

Ujian kencing dipstix (ujian leukosit esterase dan nitrit) adalah ujian saringan yang berguna untuk UTI dan boleh dilakukan di pejabat atau di rumah. Ujian kencing dipstick yang positif menunjukkan UTI dan pesakit sedemikian memerlukan penilaian selanjutnya. Keamatan perubahan warna pada dipstick adalah berkadar dengan jumlah bakteria dalam air kencing.

2. Ujian kultur dan sensitiviti air kencing

Ujian paling diagnostik untuk UTI adalah ujian kultur air kencing dan harus dilakukan sebelum memulakan terapi antibiotik. Ujian kultur air kencing adalah disyorkan bagi UTI yang komplikated dan “resistant” UTI, dan dalam beberapa kes, untuk pengesahan diagnosa klinikal jangkitan saluran kencing. Keputusan ujian kultur air kencing boleh didapati selepas 48-72 jam. Kelewatan masa yang ketara antara koleksi sampel dan laporan keputusan adalah kelemahan utama ujian ini. Ujian kultur air kencing mengenal pasti bakteria yang menyebabkan jangkitan berdasarkan sifat pertumbuhan organisma dan jumlah unit koloni membiak di dalam “Petri dish” di makmal. Hasil ujian kultur air kencing juga termasuk jenis antibiotik yang organisma itu sensitif atau resistant. Ini dapat membimbing doktor dalam pilihan antibiotik yang sesuai. Untuk mengelakkan kemungkinan pencemaran sampel air kencing, pesakit diminta terlebih dahulu untuk membersihkan bahagian kelamin dan mengumpul air kencing di dalam bekas steril. Kaedah lain yang digunakan untuk pengumpulan sampel untuk ujian kultur air kencing adalah aspirasi supra-pubik, sampel daripada kateter dan sampel daripada beg urinari.

Kultur dan ujian sensitiviti air kencing adalah penting untuk diagnosa dan rawatan UTI.

3. Ujian darah

Ujian darah yang biasa dilakukan untuk pesakit dengan UTI termasuk kiraan darah lengkap (CBC), urea darah, serum kreatinin, gula darah dan protein reaktif C.

Siasatan untuk Mengenal pasti Faktor Predisposisi atau Risiko

Jika jangkitan tidak respon terhadap rawatan atau jika terdapat pengulangan jangkitan, siasatan lanjut, seperti yang dinyatakan di bawah, diperlukan untuk mengesan faktor-faktor predisposisi atau risiko:

  • Ultrasound dan X-ray abdomen.
  • CT scan atau MRI abdomen.
  • “Voiding cystourethrogram” - VCUG (“Micturating cystourethrogram” - MCU).
  • Urografi intravena (IVU).
  • Pemeriksaan mikroskopik air kencing untuk tuberkulosis.
  • Sistoskopi - prosedur di mana pakar urologi (pakar bedah buah pinggang) melihat keadaan di dalam pundi kencing dengan menggunakan alat khas yang dikenali sebagai sistiskop.
  • Peperiksaan oleh pakar sakit puan.
  • Urodinamik.
  • Kultur Darah.
Untuk rawatan UTI yang berjaya, adalah penting untuk mengenal faktor-faktor risiko.

Pencegahan

Pencegahan Jangkitan Saluran Kencing

  • Minum banyak (3-4 liter) cecair setiap hari. Cecair mencairkan air kencing dan membantu membuang bakteria keluar dari saluran pundi kencing dan saluran kencing.
  • Kencing setiap dua hingga tiga jam. Jangan menangguh pergi ke bilik mandi. Menahan air kencing dalam pundi kencing untuk tempoh yang panjang memberi peluang kepada bakteria bertumbuh.
  • Makan makanan yang mengandungi vitamin C, asid askorbik atau jus kranberi untuk menjadikan urin lebih asidik dan akhirnya mengurangkan pertumbuhan bakteria.
  • Elakkan sembelit atau rawatnya dengan cepat
  • Wanita dan kanak-kanak perempuan harus mengelap dari depan ke belakang (tidak kembali ke hadapan) selepas menggunakan tandas. Kebiasaan ini menghalang bakteria di kawasan dubur dari merebak ke vagina dan uretra.
  • Bersihkan kawasan kemaluan dan dubur sebelum dan selepas persetubuhan. Minum segelas air segera selepas bersetubuh.
  • Wanita harus memakai hanya pakaian jenis kapas, yang membolehkan peredaran udara. Elakkan seluar yang ketat dan seluar dalam buatan nilon.
  • Jangkitan saluran kencing yang berulang pada wanita selepas aktiviti seksual boleh dihalang dengan berkesan dengan mengambil satu dos antibiotik yang sesuai selepas hubungan seksual.
  • Rawatan jangkitan saluran kencing.

Rawatan jangkitan saluran kencing

Langkah am.

Minum banyak air. Seseorang yang sakit, dehidrasi atau tidak dapat mengambil cairan oral yang mencukupi kerana muntah, perlu dimasukan ke hospital dan mendapat rawatan cecair IV.

Mengambil ubat untuk mengurangkan demam dan sakit. Guna pad pemanasan untuk mengurangkan kesakitan. Elakkan kopi, alkohol, merokok dan makanan pedas, yang semuanya akan irritasikan pundi kencing. Ikuti semua langkah pencegahan jangkitan saluran kencing.

Adalah penting untuk minum air yang banyak untuk mencegah dan merawat infeksi saluran air kencing

Rawatan

Rawatan jangkitan bahagian bawah saluran kencing (cystitis, jangkitan ringan)

Dalam wanita muda yang sihat, antibiotik jangka pendek selama tiga hari biasanya cukup. Sesetengah ubat perlu diberikan selama tujuh hari untuk melengkapkan rawatan. Kadang-kadang, satu dos antibiotik seperti Fosfomycin boleh digunakan. Kecuali untuk lelaki dewasa yang sihat sebelum ini yang mendapat jangkitan cystitis untuk kali pertama, lelaki dewasa memerlukan 7 hingga 14 hari antibiotik kerana kelainan struktur saluran kencing yang membuat mereka terdedah kepada jangkitan. Antibiotik oral yang biasa digunakan ialah nitrofurantoin, trimethoprim, cephalosporins atau fluoroquinolones. Pilihan antibiotik terbaik ditentukan oleh pola sensitiviti dan resistant ubat yang biasa digunakan di tempat anda.

Rawatan jangkitan buah pinggang yang teruk (Pyelonephritis)

Pesakit yang mempunyai jangkitan buah pinggang akut yang sederhana hingga teruk, yang mempunyai gejala yang teruk serta yang sakit tenat perlu dimasukkan ke hospital. Kultur urin dan darah diperoleh sebelum memulakan terapi untuk mengenal pasti bakteria penyebab dan pemilihan antibiotik yang betul. Pesakit dirawat dengan cecair intravena dan antibiotik selama beberapa hari, diikuti oleh antibiotik oral 10-14 hari. Sekiranya tiada respon terhadap antibiotik IV(gejala dan deman berterusan, kemerosatan fungsi buah pinggang), pengimajan diperlukan. Ujian air kencing selanjut diperlukan untuk menilai respon terhadap rawatan.

Rawatan jangkitan buah pinggang yang teruk (pyelonephritis) memerlukan rawatan di hospital dan antibiotik intravenous.

Rawatan jangkitan saluran kencing berulang

Bagi pesakit yang mengidap UTI berulang, pengenalpastian penyebab adalah penting. Bergantung kepada penyebab UTI berulang, rawatan perubatan atau pembedahan dapat dirancang. Pesakit ini memerlukan susulan, pematuhan ketat terhadap langkah pencegahan dan terapi antibiotik pencegahan jangka panjang.

Bilakah pesakit dengan UTI berunding dengan doktor?

Semua kanak-kanak dengan UTI perlu dinilai oleh doktor. Pesakit dewasa dengan UTI perlu segera berjumpa doktor apabila terdapat:

  • Pengurangan jumlah air kencing.
  • Demam yang tinggi, menggigil, sakit belakang dan urin yang keruh atau darah dalam air kencing.
  • Tiada respon terhadap antibiotik selepas rawatan 2 hingga 3 hari.
  • Muntah yang teruk, kelemahan teruk atau penurunan tekanan darah.
  • Satu buah pinggang.
  • Sejarah batu karang.
Demam tinggi berterusan, menggigil, sakit belakang, air kencing keruh, kepedihan semasa kencing memerlukan perhatian segera.